Monday, August 10, 2009

Meredah risiko H1N1

Hujung minggu ini saya memperjudikan nyawa saya meredah lutan risiko H1N1. Menyirap juga darah saya untuk pergi sebenarnya. Mana tidaknya. Sedang jumlah mangsa yang terkorban kerana penyakit ini semakin hari semakin bertambah,saya dengan berat hati terjun ke lautan risiko penyakit yang dahsyat itu.

Saya menghabiskan petang Sabtu saya dengan membelek-belek majalah di Popular, Sunway Pyramid. Pada mulanya fokus saya bukan kepada majalah-majalah di situ. Saya sebenarnya mencari buku-buku terbitan Kumpulan Utusan yang memenangi Hadiah Sastera tidak kiralah tahun ini atau tahu-tahun yang lepas. Namun saya terasa dikecewakan kerana tiada langsung buku-buku yang saya di rak di mana tempat novel-novel dipamerkan. Yang ada pelbagai karya picisan lain yang terkadang saya ragui mutunya. Ah!! kecewanya saya.

Pening juga kepala saya mencari majalah-majalah Kumpulan Utusan. Yang dapat saya temui hanya majalah URTV dan WANITA sahaja yang memberi 'kebenaran' untuk ssya menghantar cerpen-cerpen yang saya usahakan selama ini. Hadiah Sastera Kumpulan Utusan merupakan platfom terbaik kepada ramai penulis muda lain dan untuk orang baru seperti saya, ia merupakan peluang untuk mencuba nasib dan menentukan tanda aras kepada langkah seterusnya.

Hari Ahad pula saya mencuci mata dengan perkakas elektronik di Plaza Low Yat. Pabila di sana, orang sudah pasti berbondong-bondong datang terutamanya hujung minggu. Saya sebenarnya bukan sengaja mempertaruhkan nyawa saya ke sana. Komputer riba saya telah rosak skrinnya agaknya hujung bulan 6 lalu. Baru sekarang saya 'rajin' melangkah untuk 'mengutipnya' balik.

Bulan Ramadhan yang bakal menjelang tidak lama lagi seolah-olah menjadi pemangkin untuk saya menulis lagi. Cerpen yang pertama sudah saya siapkan dengan bantuan sifu Azmah Nordin, penulis novel Timulak Kapal Perang yang saya pernah belajar lama dahulu.

Dibawah ini sedikit petikan daripada cerpen tersebut:

"Cuba tengok langit biru tu. Bukan setiap hari ia begitu. Ada kala hujan, ribut, guruh, kilat itu datang mengusik. Begitu juga dengan hidup kita ini . Mana seronok bukan kalau langit asyik biru sahaja. Tak dapatlah kita nak merasa nikmatnya main hujan nanti. Suatu hari nanti kau mungkin akan bertemu katarsisnya. Tika itulah saatnya bermula sebuah eksposisi katarsis dalam hidupmu. Suatu ramuan yang tepu dan sebati."

Entah kenapa nasihat Miqdad mengejut bergema di kepalanya. Jiwa kini lapang seolah-olah segala keresahan dalam hatinya dibawa bayu ketenangan di renyai topi siswazah Universiti Apex pertama di Malaysia. Konvokesyen USM itu masih menyambut kehadiran tetamunya. Langit biru melambai lagi. Tampak begitu indah sekali.


.....................

Saya sedang mengusahakan cerpen kedua saya walau sering diserang writer block sewaktu rancak menaip jalan ceritanya. Semoga cerpen yang pertama akan diterbitkan tidak lama lagi. Amin.

No comments:

Post a Comment