Saturday, August 15, 2009

Terima Kasih Abe Bomba

Salaam Alayk~

Hari ini saya dan sahabat saya yang lain mengunjungi Masjid Tengku Kelana Jaya Putera, berhampiran Tasik Kelana Jaya. Mengeluarkan peluh barang setitik dua dengan bergotong royong membersihkan masjid. Mujurlah ada bantuan daripada abe-abe bomba yang bertungkus-lumus 'menembak' saluran longkang di sekitar masjid itu.


Bermain dengan hydrochloric acid (sejenis asid kuat)di tempat wudhuk sedikit menggerunkan jiwa saya. Mana tidaknya. Bukan sahaja baunya yang begitu menyekat deria hidung bahkan siapa-siapa yang terkenanya pasti akan tergaru-garu kegatalan. Kalau di dalam makmal, asid ini digunakan dalam kebuk udara untuk mengelak wap-wap yang keluar daripada asid tersebut. Cuba bayangkan kalau terperangkap dalam bilik yang penuh dengan asid ini. Masya-Allah, Tuhan saja yang tahu bagaimana rasanya saya di situ.

Tidak hanya di situ, habis badan saya 'dijamah' kerengga yang mengamuk kerana habitat mereka dimusnahkan. Mengangkut daun dan dahan pokok yang penuh dengan serangga penggigit itu saya tempuhi juga dengan hati yang berat.


Tapi keringat yang kami curahkan terbalas dengan kesudian pihak masjid untuk menyediakan makanan tengahari kami di situ. Nasi Beriani berserta ayam kurma begitu membuka selera kami setelah penat menuai peluh di setiap sudut kawasan masjid.



Elok sangatlah pada pandangan saya untuk mengadakan aktiviti sebegini. Amalan seperti gotong-royong yang telah lama diamalkan ini sepatutnya terus diamalkan. Tambahan pula Ramadhan Al-Mubarak juga semakin terbit sinarnya. Ramadhan,sempatkan kita bertemu nanti?

No comments:

Post a Comment